AdSense

Sunday, January 15, 2017

Budaya fitnah semakin ditolak rakyat


Fitnah dan persepsi jahat sering menjadi senjata utama pemimpin parti pembangkang bagi menjayakan misi memburuk-burukkan kerajaan. Ini kerana, pihak pembangkang tiada lagi isu yang hendak dimainkan bagi menghasut rakyat menolak parti pemerintah, Barisan Nasional (BN).


Pemimpin tertinggi PKR merangkap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli umpamanya antara individu yang begitu fokus menyerang kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ada saja yang tidak kena dimata pemimpin pembangkang.

Sedang pihak seperti Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Prasarana dan pelbagai pihak bertungkus lumus menjadikan pengangkutan awam setanding negara maju lain, Rafizi dan parti pembangkang fokus menyerang usaha yang dilakukan itu.

Beliau secara jelas telah silap dengan mendakwa kos bagi MRT1 SBK ialah RM21 bilion bagi laluan sepanjang 21km walhal ia adalah bagi laluan 51km, lantas mendakwa kos bagi setiap kilometer adalah RM1 bilion. Ini jelas menunjukkan apa yang didakwa Rafizi terlebih kiraan iaitu sebanyak RM30 bilion.

Selain itu, Rafizi turut menggunakan satu projek terowong kosong di Barcelona dengan mendakwa ia adalah satu projek MRT lengkap dalam usahanya untuk membuat perbandingan seterusnya menuduh projek MRT Malaysia adalah lebih mahal daripada projek di Sepanyol itu.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga menggunakan maklumat daripada blog Wordpress tidak sahih menggunakan nama ‘Pedestrian Observation’ di mana ia telah dibuktikan silap. Memburukkan keadaan lagi, Rafizi turut menggunakan maklumat secara berpilih melalui dua contoh paling murah daripada 25 contoh projek MRT sebagai usahanya untuk menuduh kerajaan terlebih bayar.

Memetik kenyataan Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional bertarikh 10 Januari lalu, adalah mengejutkan dan memalukan apabila seorang Ahli Parlimen sanggup bertindak sedemikian untuk memperdaya dalam usahanya untuk menghasut masyarakat untuk membenci kerajaan.

"Kami dapati YB Rafizi tidak pula memohon maaf atau mengakui kesilapannya bagi tuduhan tidak bersandarkan fakta ini. Apapun, kami tidak terlalu berharap beliau akan ‘jujur’ untuk berbuat demikian. Beliau turut berulangkali menggelar kami ‘hantu’ tetapi Malaysiakini sudahpun menunjukkan YB Rafizi ini lebih teruk daripada hantu.

"Maka tidak hairanlah apabila YB Rafizi telah kalah dalam lima kes mahkamah, di mana kebanyakkannya adalah berikutan fitnahnya sendiri. Selain lima kes termasuk fitnah yang dibuat terhadap NFC, beliau juga menghadapi saman malu daripada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tabung Haji dan Perdana Menteri."

Biarpun sudah didedahkan beberapa kali, Rafizi berterusan menuduh kos bagi projek MRT akan membebankan rakyat. Ini secara tidak langsung mendedahkan akal pendek YB Rafizi dan Pakatan.

Apa yang tidak disebut Rafizi ialah kos yang akan timbul jika MRT tidak dibina dan apabila dibina ia akan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam dan memanfaatkan rakyat.

Berdasarkan kepada laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia pada 2015, ia menyebut:

a. Pengguna menghabiskan masa antara 270 hingga 500 juta jam manusia dalam kawasan Bandaraya Kuala Lumpur pada 2014.

b. Kereta dianggar menggunakan 1.2 bilion liter minyak tersangkut dalam kesesakan trafik, bermakna RM2.52 bilion wang rakyat terbuang setiap tahun dalam kesesakan jalanraya.

c. Masa dan minyak yang terbuang bagi setiap orang dalam bandaraya Kuala Lumpur dianggarkan sekurang-kurangnya RM3,100 setiap tahun, lebih tinggi daripada purata pendapatan bulanan iaitu RM2,795.

d. Jumlah kos bagi trafik di bandaraya Kuala Lumpur dianggarkan pada 1.1 peratus hingga 2.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014. Dalam konteks 2016 pula, ia bermakna ia satu kerugian tahunan antara RM13 bilion dan RM26 bilion kepada Malaysia.

Dalam kajian terkini dilaksanakan firma Frost & Sullivan mendapati 41 peratus rakyat Malaysia menganggap kesesakan trafik adalah punca kekecewaan mereka. Kos perjalanan kereta juga didapati mengaut 10 peratus daripada perbelanjaan isirumah, yang boleh dikurangkan jika menggunakan pengangkutan awam yang efisien.

Ini tidak termasuk kos alam sekitar yang ketara berikutan pembakaran petrol oleh kenderaan dan kos kesihatan kepada rakyat Malaysia yang terjejas ekoran tekanan akibat tersangkut dalam kesesakan jalanraya.

Disebalik pelaburan tinggi dalam pengangkutan awam, kerajaan akan memperoleh pelaburan ini daripada cukai jangka panjang melalui produktiviti yang lebih baik, nilai hartanah yang meningkat dan peningkatan aktiviti ekonomi di kawasan yang menerima khidmat pengangkutan awam ini.

Selain itu, kerajaan juga akan dapat menjimatkan kos secara jangka panjang pada perbelanjaan alam sekitar dan kesihatan.

Projek pengangkutan awam yang efisien seperti MRT adalah satu pelaburan yang akan kekal berdekad lamanya yang akan mengembalikan semula kos itu kepada rakyat Malaysia melalui penjimatan masa untuk bergerak, pengurangan kos pengangkutan dan pemilikan kenderaan. Rakyat Malaysia juga akan menerima manfaatnya lantaran dapat mengurangkan tekanan akibat kesesakan jalanraya dan meningkatkan taraf kehidupan.

"Kami juga terkejut kerana YB Rafizi tidak memiliki pandangan jauh dan pemikiran tidak strategic dan berterusan menggunakan isu ini biarpun mengetahui manfaat kepada kerajaan dan rakyat adalah melangkaui kos yang dibelanjakan, terutama apabila kos untuk projek MRT Malaysia ini tidak terlalu mahal."

Kerajaan telah menerima pelbagai pujian kerana berjaya menyiapkan satu projek pengangkutan awam yang begitu besar dalam tempoh masa dan bajet yang ditetapkan sejak 2010. Hanya ahli politik yang pentingkan diri sendiri dan pendek akal sahaja tidak akan nampak gambaran lebih besar atau manfaat kepada rakyat, dan bertambah buruk lagi, terus menggunakan penipuan untuk menyerang projek rakyat ini.

No comments:

Post a Comment