Wednesday, April 13, 2016

Apa lagi cara mendidik pengguna jalanraya selain perketat undang-undang...


Tragedi bas jatuh gaung, kemalangan maut lagi mengerikan menjadi igauan pengguna jalanraya di negara kita.

Setiap kali berlakunya kemalangan, pasti ada pihak yang tidak bertanggungjawab menuduh orang lain atas tragedi yang berlaku.


Apa yang pasti, kerajaan dan agensinya antara pihak yang sering dituduh 'tidak menjalankan kerja'.

Perbuatan menuding jari memang sebati dengan segelintir rakyat Malaysia. Selain melepaskan tangan, tindakan sedemikian menunjukkan mereka seolah-olah memiliki kepentingan peribadi.

Tidak ada manfaat sekiranya meraih sokongan dengan cara menyalahkan orang lain. Sebaliknya kita sama-sama memerah keringat dalam memberi idea yang berkesan kepada kerajaan menerusi agensi terlibat dalam usahanya mengurangkan kadar kemalangan jalanraya.

Sebenarnya ramai yang sedia maklum bahawa kemalangan jalanraya ini antaranya berpunca daripada sikap diri sendiri (pemandu) dan juga kenderaan yang dipandu.


Bukan mudah kerajaan dan agensinya mahu mendidik sikap pemandu yang kian bertambah saban hari. Apatah lagi keterujaan generasi muda ketika berada atas jalanraya dewasa ini merasakan diri mereka berada di 'Hollywood' - terpengaruh dengan filem-filem aksi barat.

Mungkin ianya kelakar atau tidak masuk akal, tetapi perhatilah di sekeliling anda. Pemanduan laju seperti berada di litar lumba semata-mata menunjukkan kehebatan masing-masing mengendalikan kenderaan bukanlah 'pertunjukan' pelik di jalanraya kita. Bukan itu sahaja, kenderaan yang dipandu juga diubahsuai mengikut citarasa masing-masing.

Kamera perangkap had laju seperti tidak wujud dimata mereka. Mungkin faktor wang ringgit untuk membayar saman tidak menjadi masalah berat kepada mereka. Mungkin juga kelonggaran undang-undang menyebabkan pesalah trafik ini mengambil mudah dengan tidak membayar saman yang dikenakan.

Menyedihkan apabila tindakan mereka ini turut melibatkan pengguna jalanraya yang lain. Tiada guna lagi seseorang itu memandu secara berhemah apabila muncul segelintir manusia yang membahayakan pengguna jalanraya lain.

Sejak sekian lama, kerajaan menerusi agensinya berusaha gigih ke arah mendidik orang ramai ketika berada di atas jalanraya - mengikut peredaran semasa. Jika dahulu mungkin masalah sebegini tidak menjadi isu besar. Bilangan pemandu dan infrastruktur jalanraya kini sudah berubah!

Semasa perasmian Majlis Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kali yang ke 70 pada Isnin lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi mesej berkaitan perlaksanaan undang-undang.


Katanya, undang-undang penguatkuasaan JPJ perlu dilihat semula bagi memastikan urusan penguatkuasaan dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Misalnya, sistem yang digunapakai sebelum ini seperti kamera perangkap laju automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Jalan Raya (Kejara) dilihat tidak memberi kesan baik sepertiman yang diharapkan.



"Wujud kelonggaran dan permasalahan dari segi pelaksanaannya." Demikian antara yang terkandung di dalam ucapan Liow.

Justeru itu hasrat agensi dalam mengaktifkan sistem AWAS kelak diharap membantu memberi kesedaran pengguna jalanraya sebagaimana namanya, Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS).

Ia sekaligus memantapkan penguatkuasaan JPJ dalam usahanya mengurangkan kadar kemalangan jalanraya dan mendidik orang ramai agar mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Jika di negara maju lain seperti Jepun, masyarakatnya lebih terdidik dengan mematuhi undang-undang, mengapa tidak rakyat Malaysia?

Apakah 'sushi' dan nasi menjadi faktor penghalang?

1 comment:

  1. Agensi penguatkuasa mesti tegas..tindakan mesti la sentiasa bukan masa nak masuk tv saja baru nampak bersungguh menjalankan tugas..KALAU tv takde..tindakan dan penguatkuasaan pun senyap..dgn lain kata jgn bermusim.

    ReplyDelete