AdSense

Tuesday, March 15, 2016

MH370 : Penemuan serpihan baharu, masyarakat diingat tidak buat spekulasi - Liow Tiong Lai


Setakat dua minggu ini, sebanyak tiga keping serpihan yang didakwa milik pesawat yang hilang MH370 ditemui di Mozambique dan Pulau Reunion di Perancis.


Masyarakat bagaimanapun diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung penemuan tersebut.

Kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai kesemua serpihan yang ditemui itu masih dalam proses penelitian oleh pasukan pakar termasuk daripada Malaysia.

Dalam kenyataannya semalam, Liow memberitahu bahawa penemuan pertama yang dijumpai di Mozambique sudahpun dibawa ke Malaysia oleh sepasukan daripada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 ICAO Annex 13 dan Malaysia Airlines (MAS). Ia kini berada dalam jagaan pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 untuk proses penelitian.


Objek kedua yang juga dijumpai di Mozambique oleh penduduk tempatan kini berada di Afrika Selatan dan dalam proses untuk dibawa ke Malaysia. Pihak DCA sudahpun berhubung dengan pihak penguasa di sana bagi tujuan tersebut. Pasukan yang terdiri daripada DCA, Penyiasatan MH370 dan MAS dijangka akan berlepas ke Afrika Selatan untuk mengambil serpihan berkenaan. Ketika ini, objek tersebut berada dalam jagaan pihak berkuasa DCA Afrika Selatan.

Setelah kedua-dua objek ini dibawa Malaysia dan melalui proses penelitian, ia kemudiannya akan diterbangkan ke Australia untuk ujian lanjut dan pengesahan oleh sekumpulan pakar Penyiasatan untuk MH370 termasuk pakar-pakar antarabangsa, Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Biro Keselamatan Pengangkutan Amerika Syarikat dan syarikat pengeluar Boeng.

Sementara serpihan ketiga iaitu 'flaperon' atau bahagian sayap yang ditemui di Pulau Reunion pada Julai lalu akan dibawa ke Perancis bagi melalui proses lanjut oleh sepasukan pakar di Perancis termasuk melibatkan Pasukan Penyiasatan Keselamatan MH370 ICAO Annex 13 dari Malaysia.

Sehubungan dengan itu, masyarakat terus diingatkan supaya tidak membuat sebarang andaian sehingga keputusan sebenar diumumkan nanti, sama ada penemuan-penemuan baharu tersebut milik MH370 ataupun sebaliknya.



No comments:

Post a Comment