Friday, March 4, 2016

Komplot Guling PM : Ini kenyataan Pergerakan Pemuda UMNO



Kenyataan Media Ketua Pergerakan Pemuda UMNO

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mengecam tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed yang telah bersekongkol dengan parti-parti pembangkang melalui satu kenyataan bersama. 

Walaupun perbezaan pendapat satu perkara yang biasa dalam politik, tindakan untuk berkongsi pentas dengan pihak lawan sehingga mengenepikan segala pendirian sebelum ini amat mengecewakan dan menandakan politik 'matlamat menghalalkan cara' yang wajar ditolak. Mereka yang berkongsi pentas dengan Tun Dr Mahathir ini jugalah yang beliau telah menentang selama kerjayanya yang cukup lama. 

Kami akan terus memberi sokongan penuh kepada Presiden UMNO, Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak, untuk memimpin parti dan kerajaan. Kami yakin program transformasi Dato' Sri Najib akan berjaya mengekalkan kestabilan politik, menjana pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. 

Tun Dr Mahathir dan rakan-rakannya sedia maklum, penentuan bagi siapa yang akan menerajui kerajaan tidak boleh dibuat pada satu sidang media mahupun melalui kempen menandatangani memorandum. Dalam sistem demokrasi, penentuan itu hanya boleh dibuat pada pilihanraya melalui mandat pengundi. Jika mereka tidak puas hati, kami cadangkan mereka bergabung dalam satu perikatan politik rasmi dan berdepan dengan Barisan Nasional pada pilihanraya umum kelak. 

UMNO dan Barisan Nasional akan terus berkhidmat demi rakyat dalam menjayakan program transformasi Dato' Sri Najib dan agenda nasional Rancangan Malaysia ke-11. Kami tiada masa untuk berpolitik kerana yang lebih utama adalah usaha yang dijalankan oleh kerajaan dibawah pimpinan Dato' Sri Najib untuk menjaga kebajikan rakyat. 

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
4 Mac 2016

No comments:

Post a Comment