AdSense

Thursday, December 3, 2015

Fakta yang perlu anda tahu tentang McDonald's


McDonald's Malaysia sering menjadi mangsa boikot tiap kali tercetusnya konflik peperangan atau keganasan Zionis Israel terhadap masyarakat Palestin. Sedangkan konflik keganasan tersebut sudahpun berlaku sejak tahun 1948 lagi.

Penulis pada asalnya turut terkeliru dengan dakyah palsu yang disebarkan sebelum ini. Namun setelah meneliti fakta-fakta, baharulah sedar bahawa gerakan memboikot yang dilaung-laungkan adalah suatu tindakan yang tidak tepat dan sia-sia.


Di Malaysia, McDonald's sudah beroperasi sejak lebih daripada 30 tahun yang lalu. Ia dikendalikan oleh Golden Arches Restaurants Sdn Bhd atau dikenali dengan nama 'McDonald's Malaysia'.

Manakala selebihnya dikendalikan oleh francaisi tempatan melibatkan pelbagai latarbelakang, kaum dan agama. Apa yang pasti mereka ini adalah usahawan dan ahli perniagaan dikalangan warganegara Malaysia.

Tersebar dakwaan yang menuduh syarikat McDonald's ini dimiliki dan dikuasai oleh bangsa Yahudi yang juga pro Israel, anti-Islam dan anti-Palestin.

Untuk makluman pembaca, dakwaan itu adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana, McDonald's Corperation merupakan syarikat perniagaan yang tersenarai di Bursa Saham New York dan dipegang oleh lebih daripada 1.8 juta pemegang saham.

Ini adalah fakta yang mudah menangkis dakwaan tersebut. Bagaimana ia boleh dikuasai oleh seseorang individu atau kuasa sedangkan setiap pemegang saham tidak boleh memiliki lebih daripada 10 peratus saham! Jelas di sini bahawa McDonald's Corperation tidak dimiliki oleh mana-mana individu. Orang yang biasa dalam bidang perniagaan, ekonomi atau saham pastinya tidak terpedaya dengan fitnah 'kelakar' yang disebarkan terhadap McDonald's.

Tidak cukup dengan itu, McDonald's turut dituduh bersekongkol dengan Israel dan memperuntukkan dana dengan menggunakan royalti syarikat bagi tujuan misi ketenteraan menghancurkan bumi Palestin.

Dalam hal ini, penulis ingin mengajak pembaca untuk mengambil sedikit contoh mudah. Begini, apakah sesebuah syarikat perniagaan akan berminat untuk terlibat dengan politik atau cenderung kepada mana-mana fahaman tertentu? Pastinya tidak.

Tindakan tidak bijak seperti ini akan mengakibatkan pelanggan berpecah kepada dua pihak atau mungkin juga lebih. Misalnya, syarikat A menyokong parti 1, ia akan menyaksikan pelanggan daripada parti 2, 3 dan seterusnya tidak akan berkunjung ke syarikat A berkenaan.

Begitu jugalah dengan McDonald's. Syarikat ini menjalankan operasi mereka di 120 buah negara seluruh dunia, termasuk negara-negara Islam. McDonald's cukup menghormati setiap pekerja dan pelanggannya yang terdiri dikalangan pelbagai latarbelakang, bangsa, agama dan warganegara. Sudah pasti syarikat yang menjalankan perniagaan seperti McDonald's tidak akan menanggung risiko dengan terlibat dalam mana-mana kepentingan politik mahupun konflik keganasan.

Menjadi suatu perkara lazim bagi mana-mana syarikat perniagaan dengan membayar royalti. Bagi McDonald's, ia digunakan untuk tujuan mendapatkan lesen perniagaan atau hak penggunaan jenama McDonald's. Sebahagian besar daripada pendapatan McDonald's ini akan dipulangkan semula kepada negara bagi tujuan pembangunan atau pengembangan perniagaan mereka.

Ya, tuduhan-tuduhan tidak berasas terus disasarkan kepada McDonald's termasuk mengaitkannya dengan sebuah organisasi Jewish United Fund (JUF) dalam program kebajikan atau Matching Gift. Pihak yang tidak bertanggungjawab telah menuduh McDonald's membiayai regim Israel dalam konflik di Palestin menerusi program tersebut.

Menjawab tuduhan liar ini, sebenarnya, JUF adalah sebuah badan kebajikan yang berdaftar di Amerika Syarikat. Terdapat beribu-ribu badan kebajikan yang berdaftar termasuklah daripada badan kebajikan Islam. Kesemua daripada badan kebajikan ini menerima derma daripada program Matching Gift.

Setiap sumbangan ini ditentukan oleh para pekerja sementara syarikat akan menderma mengikut kadar yang sama. Dalam program Matching Gift ini, para pekerja boleh menderma kepada mana-mana badan kebajikan yang berdaftar.

Selain daripada itu, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Matching Gift ini sebenarnya merupakan program yang diadakan di Amerika Syarikat dan ianya tidak melibatkan McDonald's Malaysia.

Memahami fakta-fakta ini, baharulah disedari bahawa agenda memboikot McDonald's yang dimiliki samada oleh McDonald's Malaysia ataupun francaisi tempatan hanyalah tindakan yang tidak tepat sama sekali.

Kegiatan menfitnah dan usaha memboikot McDonald's adalah tindakan yang dicetuskan oleh segelitir pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka ini kelihatan mempunyai agenda tertentu yang tidak baik dengan mempergunakan konflik di Palestin sebagai daya penarik.

#TerimaFaktaTolakFitnah

2 comments:

  1. walau apapun makanannya tetap tidak baik untuk kesihatan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. masih adakah makanan yg baik utk kesihatan di zaman ini? tepuk dada tanya selera

      Delete