Wednesday, August 19, 2015

Dari Pudu ke TBS - Peranan SPAD beri keselesaan kepada orang ramai.



Sejak sekian lama... pengguna pengangkutan awam terutamanya bas ekspres di Pudu Raya (kini Pudu Sentral) pasti mengeluh dengan lokasinya yang sentiasa sesak.

Bukanlah kerana pertambahan bilangan kenderaan persendirian semata-mata tetapi berlakunya kesesakan adalah kerana lokasi ini terletak di tengah-tengah kota.

Hari demi hari, tumbuhnya pusat-pusat perniagaan yang seterusnya merancakkan lagi kepesatan ekonomi di kawasan itu. Membangunnya sebuah negara bernama Malaysia.

Namun dalam masa sama, keadaan ini mengundang rasa kurang selesa buat pengguna pengangkutan awam yang ingin pulang ke kampung halaman mahupun ingin keluar bercuti / bekerja di luar Kuala Lumpur.

Sudah tentu, pengguna yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat ini memandang berat soal penggunaan masa.

Tiada siapa yang gemar bergerak dalam keadaan terburu-buru dan terkejar-kejar. Penulis turut merasai pengalaman tergesa-gesa ini ketika mahu ke Pudu Sentral. Sudahlah berdepan dengan kesesakan lalulintas, boleh pula tercicir barang. 

Kesudahannya, tiket perjalanan yang ditempah itu terpaksa dibatalkan. Beli semula tiket perjalanan yang lain.

Sebab itu langkah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menerusi Pengerusinya Tan Sri Dr Syed Hamid Albar memutuskan bahawa aktiviti bas ekspress ini akan mula beroperasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

Operasi yang akan bermula awal tahun depan ini merupakan satu langkah yang bakal mengukir senyuman buat pengguna pengangkutan awam.

Maka itu dapatlah pengguna dan orang ramai menggunakan perkhidmatan bas ekspress dalam keadaan yang selesa. Tidak lagi perlu masuk ke tengah kota dan mengharungi kesesakan trafik untuk pulang ke kampung ataupun mahu keluar daripada Kuala Lumpur atas urusan masing-masing.

Sekali lagi terima kasih kepada SPAD yang sentiasa peka terhadap permasalahan masyarakat terutamanya melibatkan pengangkutan awam darat.

No comments:

Post a Comment