AdSense

Monday, June 29, 2015

Faekah JENTIK Azmin


PELUANG AZMIN MEMBUKTIKAN KEUPAYAAN SUDAH BERAKHIR, BERI LALUAN PADA YANG LAYAK

Saya sama sekali tidak terkejut melihat reaksi melatah daripada beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ternyata kurang senang dengan berita kesudian mantan Dato' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim untuk kembali menerajui tampuk kerajaan negeri demi memastikan pentadbiran yang telus, berkeupayaan, bertanggungjawab, berintegriti dan bebas rasuah.


Seolah-olah siri ulang tayang kepada apa yang berlaku pada tahun lepas, apabila pemimpin PKR meneruskan "tradisi" mencerca, maki hamun, fitnah dan pembohongan tanpa segan silu atau rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang mulia ini. Sekali lagi saya tegaskan bahawa segala tuduhan liar terhadap Tan Sri Khalid berkaitan penyelesaian luar mahkamah dengan Bank Islam, KIDEX atau mana-mana dakwaan salahguna kuasa adalah berniat jahat, tidak berasas dan berunsur fitnah. Perkara tersebut telahpun dibawa ke mahkamah melalui saman malu yang telah difailkan oleh Tan Sri Abdul Khalid terhadap PKR.

Setakat hari ini meskipun beberapa dokumen utama telah difailkan PKR termasuk dokumen Pernyataan Pembelaan, tidak ada satu buktipun yang mampu diketengahkan PKR berkenaan tohmahan dan fitnah tersebut.

Mahkamah akan membuktikan bagaimana jahat dan hinanya kumpulan ini menfitnah mantan Menteri Besar demi merampas tampuk pemerintahan di Selangor.

Selain biadab, kenyataan pimpinan PKR yang begitu ghairah mengampu turut menimbulkan beberapa persoalan nyata. Apakah butiran fakta dan hujah yang boleh mereka kemukakan untuk membuktikan kononnya Selangor lebih maju dan makmur setelah YAB Tuan Azmin Ali menjadi Dato' Menteri Besar hanya selama sembilan bulan? Adakah pada mereka maksud "kemakmuran" ialah bersenang lenang berbelanja wang rezab yang dikumpul pentadbiran terdahulu?

Adakah "kemakmuran" telah dinikmati hasil lagak meraih publisiti murahan menerusi aktiviti-aktiviti terjah longkang, lori sampah dan tapak pelupusan; menjahit baju; mencuci pakaian dan yang paling hebat sekali menyembur racunserangga dan ubat nyamuk? Adakah "kemakmuran" namanya apabila Selangor kekal menjadi juara negeri tertinggi kes penyakit denggi meskipun habis semua bas sekolah disembur ubat nyamok? Adakah "kemakmuran" dirasai rakyat apabila kontraktor meraih keuntungan berganda dengan menurap jalan berkali-kali sedang longkang kekal tersumbat dan sampah bertimbunan di bahu jalan dan di taman-taman perumahan?

Adakah "kemakmuran" dirasai segenap lapisan masyarakat setelah Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dtubuhkan di mana para pegawai Dato' Menteri Besar dilaporkan sangat sibuk berbincang; di atas meja mahupun di bawah meja dengan pelbagai pihak untuk menjayakan projek perumahan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM10 billion? Adakah "kemakmuran" saksama dikecapi rakyat di seluruh negeri dengan pendirian berbeza-beza mengenai lebuh raya bertol Kerajaan Persekutuan - KIDEX di Kinrara/Petaling Jaya/Damansara/Subang kononnya dibatalkan sedangkan EKVE, projek yang dianugerahkan kepada Ahmad Azri Resources Berhad di Ukay Perdana/Bukit Antarabangsa diluluskan?

Adakah "kemakmuran" yang dimaksudkan itu berlandaskan "keberanian" Menteri Besar membentangkan belanjawan defisit buat pertama kalinya bagi tahun 2015 meskipun tanpa justifikasi yang sah berbanding belanjawan berimbang selama enam tahun berturut-turut sejak 2009?

Atau mungkin "kemakmuran" yang dikecapi bersandarkan kegagalan demi kegagalan Dato' Menteri Besar untuk menyelesaikan pelbagai isu berkaitan bekalan air bersih sehinggakan sekitar 600 penduduk Selangor berarak "bersenjatakan" gayung dan baldi ke Bangunan SUK di Shah Alam baru-baru ini?

Adakah dikatakan "hebat" apabila Dato' Menteri Besar dengan sewenang-wenangnya meletakkan beban kegagalan memuktamadkan penstrukturan semula industri air ke atas bahu mantan Menteri Besar sedangkan beliau hanya perlu melaksanakan terma dan syarat Perjanjian Utama yang telah dimeterai hasil rundingan kompleks dan holistik selama lima tahun dalam lebih 60 sesi mesyuarat dan perbincangan di antara Kerajaan Negeri dan KerajaanPersekutuan.

Apatah lagi apabila aspek paling penting dan rumit dalam proses penstrukturan semula ini yang melibatkan struktur dan kerangka kewangan telah pun disempurnakan sendiri oleh mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim setelah menolak perkhidmatan bank pelaburan antarabangsa, sekaligus menjimatkan Kerajaan Negeri daripada membayar fi dan caj bernilai sekurang-
kurangnya RM20 juta.

YAB Tuan Azmin Ali telah mempersiakan peluang yang telah diberikan untuk membuktikan keupayaan beliau selama sembilan bulan. Maka tiada jalan lain yang lebih adil dan berfaedah bagi rakyat Selangormelainkan beliau beri laluan kepada yang lebih layak.

FAEKAH HUSIN
PEGAWAI KHAS KEPADA ADUN PELABUHAN KLANG

Sent from my iPhone

2 comments:

  1. Projek babi RM100 juta. Wow...amat menjijikkan. X patut projek ini diadakan di negeri majorti Islam. Sultan dan JAIS patut bantah kerana ia seperti suatu penghinaan. Macamlah staple food orang Selangor ni khinzir.

    ReplyDelete
  2. Azmin ooi - sampah masih merata-rata lihat saja Pasar borong Selangor di Seri Kembangan dimana sampah bertaburan seperti tiada penjaga harta rakyat ini

    ReplyDelete