AdSense

Friday, September 7, 2012

Apa rancangan UMNO Selangor dan Kelantan?


 KOTA BHARU 7 Sept - Umno Selangor dan Kelantan mempunyai matlamat yang sama untuk merampas kedua-dua negeri itu dari tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, walaupun pendekatan yang digunakan berbeza.   Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata perbezaan pendekatan perlu digunakan kerana majoriti pengundi di Kelantan ialah Melayu.   

"Di Kelantan ramai pengundinya Melayu tidak seperti Selangor dan kita pada masa yang sama turut memberikan tumpuan kepada pengundi berbangsa lain pada pilihan raya akan datang ini.   "Selain itu yang berbeza di Kelantan, pemerintahan Pas sudah lama tetapi di Selangor pembangkang masih baru tetapi (Umno) bermatlamat sama untuk melihat BN menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kubang Kerian hari ini.   

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, rakyat Selangor perlu melihat sandiwara pembangkang terutamanya dalam melaksanakan janji manifesto pilihan raya.   "Kenyataan kerajaan Selangor yang awal-awal lagi memaklumkan bahawa tidak semestinya mereka perlu menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya, sudah cukup untuk rakyat melihat bagaimana mereka sebenarnya bersandiwara," katanya. 

Dalam pada itu, Noh turut meminta semua anggota Umno agar tidak memikirkan tarikh pilihan raya umum akan diumumkan tetapi yang penting adalah mereka sudah bersiap sedia.   Beliau berkata anggota Umno perlu bersiap sedia dan menganggap seperti esok adalah pilihan raya kerana dengan keadaan itu, semua anggota parti dilihat sudah bersedia sepenuhnya.   "Jangan fikir teka teki bila pilihan raya umum nak diadakan.

Kita anggap sahaja esok adalah pilihan raya kerana ini tanda kita sudah bersedia sepenuhnya,"  katanya.   Noh berkata apa yang berlaku, rakyat sudah membuat pilihan yang bijak dan melihat siapa sebenarnya yang boleh digantungkan harapan untuk membela nasib mereka.   "Di Kelantan mereka kini gunakan hudud sebagai senjata Pas menjelang pilihan raya. Ini cara mereka, kononnya merekalah pejuang Islam sedangkan kita tahu apa muslihat sebenarnya," katanya.

Sumber : KLPOS

No comments:

Post a Comment