AdSense

Saturday, April 9, 2016

Info yang perlu anda tahu tentang kilang pembekal McDonald's - Dindings Poultry Processing


Tepat jam 9.00 pagi, penulis bersama rakan-rakan media yang lain melangkah keluar dari ibupejabat McDonald's Malaysia di Petaling Jaya menuju ke kilang pembekal ayam, Dindings Poultry Processing Sdn Bhd (DPP) yang terletak di Sitiawan, Perak.

Perjalanan yang mengambil masa kira-kira 3 jam itu turut disertai oleh Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar.


Sejurus tiba dan memasuki perkarangan kilang, kami disambut oleh beberapa orang kakitangan DPP yang ditugaskan untuk mendapatkan bacaan suhu setiap daripada ahli rombongan.

Hanya pelawat yang benar-benar sihat sahaja yang dibenarkan masuk. Ini merupakan langkah pencegahan awal yang ditetapkan kilang bukan sahaja kepada pelawat tetapi juga perlu dipatuhi setiap pekerja.


Kami kemudiannya disambut dalam upacara 'selamat datang' oleh pihak syarikat DPP yang diketuai oleh Pengurus Besarnya Tony Wo Kah Keat. Hadir sama Pengarah Eksekutif Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) Ang Pun Heng dan Pengarah Hal Ehwal Pembangunan Perniagaan & Korporat Malayan Flour Mills Berhad (MFM) Azhari Arshad.

Azhari Arshad (kanan) mengatakan sesuatu kepada Azmir Jaafar.

Untuk makluman, DPP dan DPDC merupakan syarikat yang berada dibawah kumpulan MFM.

Sesi penerangan dimulakan Azhari dengan menjelaskan tentang aktiviti pemprosesan yang dijalankan berdasarkan kepada beberapa peringkat.



Bermula dari reban, sehinggalah ke aktiviti pembungkusan bahan mentah sebelum dipasar dan dibekalkan kepada McDonald's.

Oh tidak, reban yang dimaksudkan bukanlah seperti tanggapan pembaca. Ia bukan lagi reban berdindingkan papan yang terdedah dengan persekitaran terbuka. Sebaliknya ia dilengkapi dengan teknologi-teknologi canggih dilengkapi dengan kipas bagi memastikan suhu dalam reban kekal pada skala 25 - 29 darjah celsius.


Bukan itu sahaja, kawalan rapi sentiasa dipantau setiap masa. Aliran udara bersih ditukar ganti setiap minit dan ini sudah cukup menggambarkan bagaimana ayam dipelihara dalam keadaan sempurna.

Tiba masa kami memasuki tempat pemprosesan ayam. Tapi sebelum itu, kami diminta menanggalkan barangan peribadi seperti jam, gelang dan cincin. Kemudian satu set pakaian berwarna putih disediakan. Ia termasuklah baju labuh seakan jubah, sarung kepala, topi, topeng muka dan kasut getah atau popular dengan nama 'kasut Phua Chu Kang'. Bezanya, ia bewarna putih.

SUDAH BERSEDIA - Pengarah Urusan McDonald's Malaysia, Azmir Jaafar

Ya, pakaian sama juga wajib dipakai oleh para pekerja.

Bagai memasuki kawalan keselamatan kastam, kami diimbas dengan alatan elektronik bagi tujuan mengesan elemen-elemen yang tidak dibenarkan masuk ke kawasan pemprosesan.

Para pelawat kemudiannya perlu mencuci tangan dengan menggunakan sabun yang disediakan sebelum merentasi lantai berlopak atau kolam kecil yang diisi dengan klorin. Setiap pergerakan ini diperhatikan oleh kakitangan kilang bagi memastikan segala 'undang-undang kilang' dipatuhi pelawat.

Operasi penyembelihan, membuang bulu, pemotongan kaki dan pengasingan organ dalaman merupakan proses pertama yang berlaku di kilang ini setelah menerima kehadiran ayam hidup dari ladang ternakan.

Untuk makluman pembaca, terdapat 18 orang penyembelih di DPP diamanahkan untuk menyempurnakan hukum syarak Islam berkenaan. Kesemua mereka ini memiliki sijil penyembelihan yang sah dan diperakui oleh Jabatan Agama Islam Negeri.

Memiliki sijil penyembelihan yang sah juga merupakan syarat utama yang dikenakan DPP kepada para penyembelih. Ini kerana DPP amat mementingkan pengeluaran produk halal mereka sedari awal pemprosesan.

Daripada 18 orang, 5 daripadanya akan ditugaskan menyembelih selori ayam iaitu 3,500 ekor pada satu-satu sesi. Sejurus selesai, kumpulan kedua pula (juga 5 orang) akan menggantikan tempat kumpulan pertama bagi tugasan pada sesi kedua. Begitulah seterusnya.

Ini bagi memastikan stamina para penyembelih kekal cergas sekaligus dapat memberi fokus bukan sahaja ketika bertugas tetapi juga dalam menjalankan tuntutan agama.

Dalam bilik sembelihan ini, terdapat 5 saluran air yang tidak ubah seperti pancuran dibilik mandi. Pada awalnya penulis beranggapan ia bertujuan untuk menyejukkan badan si tukang sembelih. Namun tanggapan itu tidak tepat.

Sebenarnya pancuran air itu bertujuan membilas pisau yang digunakan untuk penyembelihan supaya kekal bersih. Selepas sahaja ayam pertama disembelih, pisau akan dicuci sehingga bersih sebelum digunakan untuk ayam kedua. Begitulah rutin seterusnya.

Mengikut Islam, darah juga dikategorikan sebagai najis dan pisau yang terdapat kesan darah tidak boleh digunakan untuk urusan penyembelihan.

Selepas bulu dibuang, bahagian kaki ayam akan diasingkan sebelum melalui proses pengasingan organ dalaman. Walaupun operasi dijalankan sepenuhnya oleh mesin, namun beberapa orang pekerja turut ditempatkan bagi meneliti perjalanan proses agar berjalan lancar.

Terdahulu, kami dibawa memasuki kawasan pemprosesan fasa kedua.

Pelik! Tidak ada bau ayam!


Demikian ungkapan awal kami setelah memasuki tempat pemprosesan di kilang ini. Benar, deria kami gagal mengesan bau sepertimana yang dijangkakan walaupun pada ketika itu kami dikelilingi oleh ribuan ayam!

Pemerhatian penulis mendapati suhu sejuk dan keadaan tempat pemprosesan yang bersih menjadi faktor utama kepada persoalan tersebut.

Di sini, terdapat beberapa bahagian operasi dijalankan seperti timbang berat ayam, pemotongan, pengasingan tulang, pengadunan seterusnya pembungkusan dan penyimpanan sejuk sementara.

Ayam diasingkan mengikut kategori berat masing-masing. Mesin elektronik bergerak digunakan untuk tujuan tersebut dan setiap ayam akan jatuh di 9 tempat berbeza mengikut kategori berat yang telah ditetapkan.

Proses seterusnya pula ialah pemotongan bahagian ayam mengikut permintaan. McDonald's Malaysia pada biasanya akan memesan ayam yang dipotong kepada 9 bahagian mengikut pada saiz ayam. Disamping itu, DPP juga membekalkan daging ayam yang sudah diasingkan daripada tulang.

Penulis berasa teruja dan tertarik apabila melihat para pekerja menjalankan proses pengasingan tulang ini. Terdapat beberapa saringan perlu dilalui sebelum ia melepasi mesin pengesan bagi mengesan sisa tulang.

Mereka sememangnya cukup teliti dan berhati-hati sehinggakan tidak ada langsung tulang yang tertinggal. Sementara alatan pisau yang digunakan kelihatan cukup tajam sekaligus memudahkan serta melancarkan operasi di bahagian ini.

Terlintas di fikiran penulis, apakah pisau sama digunakan sepanjang operasi?

Jawapan yang diterima penulis adalah tidak. Ini kerana, pisau yang digunakan oleh para pekerja akan ditukar ganti setiap dua sesi iaitu pagi dan petang setiap hari. Setiap pekerja pula akan dibekalkan pisau masing-masing mengikut 'tag nombor' yang sudah ditetapkan. Selepas digunakan, pisau tersebut akan dicuci dan dipanaskan bagi tujuan kawalan pembersihan.

Perlu juga anda tahu bahawa kesemua pisau ini memiliki tempoh hayatnya iaitu selama 6 bulan. Melepasi usia itu, pisau tersebut akan digantikan dengan yang baharu. Sampaikan pisau pun pihak kilang menjaganya sedemikian tegas! 

Di kilang pemprosesan ini terdapat 2 unit mesin pengadun. Mesin ini digunakan untuk mengadun daging-daging ayam mengikut resipi McDonald's baik 'original' mahupun 'spicy'.

Dua proses terakhir ialah pembungkusan dan penyimpanan sementara di peti sejuk beku sebelum ia melangkah ke dapur restoran McDonald's berhampiran anda.

Benar, pihak DPP tidak akan menyimpan lama bahan mentah ini bagi tujuan memelihara aspek kesegaran produk mereka. Sebab itu McDonald's Malaysia memilih pembekal ini kerana aspek kesegaran bahan mentah merupakan sesuatu yang dititikberatkan.

Berakhir sudah lawatan ke kilang pembekal McDonald's yang mengambil masa kira-kira 3 jam itu.

Untuk penulisan akan datang, penulis akan mengeluarkan artikel tentang beberapa persoalan berbangkit khususnya berkaitan pemprosesan termasuk penyembelihan dan penglibatan pihak Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) di kilang pembekal McDonald's Malaysia - Dindings Poultry Processing.

2 comments: