Wednesday, May 11, 2016

UMNO lahir atas kesedaran bersatu, demi kesinambungan bangsa


Kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sempena #UMNO70Tahun


Alhamdulillah, hari ini genap 70 tahun sejak UMNO diasaskan. Dalam tempoh 70 tahun ini, kita telah melalui pelbagai dugaan dan kejayaan bersama. UMNO bermula dengan perjuangan mulia, melakukan desakan kepada Kerajaan British untuk memansuhkan Malayan Union seterusnya membentuk Persekutuan Tanah Melayu. Peristiwa ini merintis laluan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

Sehingga kini, UMNO terus menjuarai perjuangan membela untung nasib Melayu dan Bumiputera. Dalam perjalanan 70 tahun ini, sudah tentu parti ini tidak dapat lari daripada ujian dan cabaran. Ada yang memilih untuk tidak bersama UMNO dan membentuk parti baru, dan ada juga yang memilih untuk keluar masuk UMNO mengikut kehendak diri dan keadaan. Tetapi tidak mengapa, UMNO hormati keputusan mereka. Hal ini tidak sesekali mematahkan semangat juang UMNO malah mematangkan lagi kita semua.


Saya percaya dalam tempoh ini UMNO telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan orang Melayu. UMNO kekal berdiri teguh memelihara kekuatan dan kehormatan orang Melayu. Kepentingan bangsa sentiasa menjadi agenda utama dalam perjuangan UMNO. UMNO lahir atas kesedaran untuk bersatu dan bertindak bersama demi kesinambungan bangsa, maka semangat perpaduan ini harus kita kekalkan. Janganlah kita biarkan perbezaan pendapat dan ketidaksefahaman mencemar keharmonian parti. Selesaikan isu secara matang dan berhemah.

Dalam meniti usia kematangan ini, marilah sama-sama kita berdoa agar perjuangan parti keramat ini terus diberkati Allah SWT. Insya-Allah, saya yakin selagi mana UMNO berdiri teguh, selagi itu orang Melayu akan terus kekal sejahtera, dan membangun di bumi bertuah Malaysia ini. Selamat ulang tahun ke-70, UMNO.

NajibRazak.com

No comments:

Post a Comment